Sistem
politik Kesultanan Melayu Melaka diterajui oleh raja dan dibantu oleh golongan pembesar
serta serba sedikit dari golongan bangsawan. Menteri yang penting sekali
kedudukannya di Melaka ialah Bendahara (gelaran seperti Paduka Raja dan Seri
Maharaja). Beliaulah yang berurusan dengan saudagar-saudagar asing serta menjadi
penimbang tara dalam pertikaian antara orang Melayu dengan orang
asing dan antara sesama orang Melayu sendiri. Apabila ketiadaan sultan,
Bendahara akan mendapat hak untuk memangku tugas sultan dengan di bantu oleh
Penghulu Bendahari dan Seri Bija Diraja.
Bendahara
yang asal, walaupun berketurunan bangsawan bukanlah keturunan raja. Namun
begitu, mengikut keluarga Bendahara telah bersemenda dengan keluarga raja
Melaka dan dengan itu memperoleh kuasa yang lebih besar, lazimnya menentukan
hak menaiki takhta kerajaan. Antara tugas lain seorang Bendahara ialah menjadi
ketua turus tentera, ketua hakim dan ketua di balainya sendiri. Pembesar yang
kedua di Melaka ialah Penghulu Bendahari, iaitu ketua seluruh Syahbandar dan
berkuasa memungut segala hasil negeri. Tugasnya yang utama ialah memegang harta
benda dan hasil mahsul kerajaan. Beliau juga menjadi wakil menerima ufti dari
kawasan jajahan takluk Melaka dan boleh dititahkan untuk mengetuai angkatan
perang Melaka menyerang negeri asing seperti Kampar.
Pembesar
ketiga dalam hierarki ialah Temenggung yang kemudiannya telah melangkau
kedudukan Penghulu Bendahari dan dianggap sebagai pengganti Bendahara. Antara
tugas-tugas awam Temenggung ialah menguruskan makanan di balai istana,
menghakimkan perbicaraan yang besar sebagai Timbalan Ketua Hakim, menangkap
orang yang melakukan kesalahan, membaiki keadaan pasar dan pekan, dan ketua
perancang bandar dan jalan raya. Manakala tugas utama Temenggung ialah menjaga
keselamatan negeri Melaka dan dalam hubungan itu beliaulah yang berkuasa atas
polis serta bertindak sebagai Ketua Majistret ( menurut istalah moden).
Temenggung Melaka biasanya dilantik daripada kalangan keluarga
pembesar-pembesar Melaka itu sendiri.
Selepas Temenggung ialah Laksamana.
Dikatakan Laksamana merupakan pembesar tentera yang setaraf dengan Bendahara.
Beliau mengetuai pentadbiran tentera di samping menjadi Panglima Pengawal Raja.
Jawatan Laksamana dianggap sama dengan Panglima Angkatan Laut disebabkan cabang
tentera yang efektif pada zaman itu ialah angkatan laut. Orang pertama yang
memegang jawatan Laksamana yang dicipta pada masa Sultan Mansur Syah ialah Hang
Tuah.
No comments:
Post a Comment